Out There We Are One

Siapa kata Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah?


Suatu hari semasa Dr. Izham Nayan, 43 sedang berbual-bual dengan seorang lelaki warak yang dipanggilnya Pak Syeikh, terpacul dari mulut orang tua itu mengenai soal perpaduan orang Melayu silam

“Hisss!! Sapa kata Hang Jebat mati dibunuh Hang Tuah? Mengarut..!! Pak Syeikh melenting ketika melontarkan kata-katanya.

“Ini tidak benar!” sambung Pak Syeikh lagi.

Dr. Izham terus mendengar kata-kata Pak Syeikh itu dengan penuh minat. Berdasarkan pengalaman Pak Syeikh itu, manakan bisa dua saudara pahlawan sateria melayu seagama yang telah mengaku bersaudara, berbunuh-bunuhan sesama sendiri?

Berdasarkan cerita Pak Syeikh, dua pahlawan Melayu bersaudara sedari kecil telah berjaya melawan lanun-lanun Siam yang mengganas di utara negeri Kedah.

Keberanian tujuh bersaudara itu menyebabkan mereka terpilih menjadi anak angkat Sultan Kedah seterusnya diutus membantu Sultan Melaka menghalau lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Melaka. Hang Tuah akhirnya dilantik menjadi Laksamana Melaka. Rakan-rakannya menjadi hulubalang istana.

“Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, hangpa semua pi tolong raja Melaka. Depa tu ada masaalah penyamun!

“Hang (loghat Kedah) ertinya kamu. Sekarang nama Lekir, Lekiu merupakan nama tempat di Kedah,” terang Pak Syeikh itu kepada Dr. Izham.

Pak Syeikh berhujah lagi, seandainya dua manusia kepala penyamun yang saling bermusuhan sekalipun, jika dikurung dalam sebuah rumah selama tujuh hari tujuh malam pasti mereka akan berbaik-baik semula.

“Inikan pula saudara sesumpah! Sebangsa dan seagama. Manakan boleh diterima akal, mereka bertarung tiga hari tiga malam tanpa henti, kemudian berbunuhan?” soal Pak Syeikh lagi.

Pak Syeikh mengulangi lagi bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat tidak berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

“Tak. Mereka berdua mencari akal macam mana nak selesaikan soal perpaduan bangsa Melayu. Setiap penyakit ada ubatnya!” beritahu Pak Syeikh.

Persoalan yang dilontarkan Pak Syeikh itu ada kebenarannya. Dr. Izham yang juga Pengarah Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) melihat hujah yang dibawa Pak Syeikh itu dari sudut positif.

Beliau membelek semula pelbagai versi naskah Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Moden Melayu. Berdasarkan kajian, terdapat sebanyak 11 versi kesemuanya ada menceritakan pertikaman antara Hang Jebat dan Hang Tuah. Mungkin apa yang diceritakan Pak Syeikh ini versi ke-12 yang terlepas pandang oleh pengkritik dan pengkaji sejarah Melayu.

Atau mungkin juga apa yang diceritakan Pak Syeikh ini suatu lagenda!. Atau mungkin suatu analogi baru yang sengaja dicipta untuk menolak versi bangsa Melayu sangup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Versi baru ini lebih positif untuk perpaduan Melayu.

Dr. Izham terfikir ada baiknya Hang Jebat tidak mati di tangan Hang Tuah. Benar seperti kata Pak Syeikh itu bahawa selagi bernama Melayu, mana mungkin mereka sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri! Inikan pula bertikam selama tiga hari tiga malam tanpa henti!

Dr. Izham melihat adengan ketika pertelingkahan berlaku antara Hang Jebat dan Hang Tuah suatu taktik paling hebat dalam sejarah kepahlawanan Melayu. Di sinilah letaknya seni persilatan orang Melayu.

Ketika itu para tali barut dan kroni Sultan Melaka dan Pateh Gajah Mada asyik mengendap untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Keadaan meyebabkan Hang Tuah dan Hang Jebat berhenti sebentar untuk mencari akal. Pada perkiraan Dr. Izham perlawanan tesebut tidak lebih hanyalah sebagai ‘berlatih’ saja. Maklumlah sudah lama Hang Jebat dan Hang Tuah tidak bertemu dan mempraktis ilmu persilatan masing-masing.

Pada hemat Dr. Izham, mana mungkin Hang Jebat sanggup melepaskan Taming sari yang keramat itu hingga terpacak ke lelangit bumbung istana? Melainkan ia dibuat secara sengaja! Ya! Taktik ini dipercayai disengajakan.

Akhirnya Hang Jebat mencederakan sendiri jari kelengkengnya dengan keris sultan yang dibawa Hang Tuah didalam gulungan langsir. Perbuatan Hang Jebat itu pula dilakukan secara beselindung bagi membolehkan tidak ada mata kroni Sultan Melaka mahupun Pateh Gajah Mada mengetahuinya.

Hang Tuah pula berpura-pura menyerang dengan keris Taming Sari yang telah bertukar tangan. Disinilah terletaknya kehebatan taktik Hang Tuah dan Hang Jebat.

Keris Taming Sari terkenal amat berbisa dan tidak wajar Hang Jebat menggunakan keris tersebut untuk melukai jarinya, melainkan ia mesti bertukar tangan dengan hang Tuah.

“Kalau tak tukar, bila Hang jebat hiris jari kelengkeng boleh bawa maut!” hujah Dr. Izham.

Hang Jebat pula berpura-pura memekap perutnya dengan tangan kiri yang berlumuran darah, mengikat dan merenjiskan darah tersebut pada kain langsir istana. Para pengampu dan pembodek sultan bersorak mengatakan Hang Jebat sudah ditikam Hang Tuah! Walhasil…itu hanya sandiwara belaka.

“Orang bukan lihat luka, orang lihat darah…” kata Dr. Izham lagi.

Pada hemat Dr. Izham, keadaan itu membolahkan Hang Jebat mengamuk dengan selesa selama tujuh hari tujuh malam membunuh hanya para kroni, pengampu sultan dan pengadu domba kepada Hang Tuah.

Jika Hang Jebat ditikam dengan Taming Sari, mana mungkin pahlawan itu masih boleh mengamuk selama itu? Tentu tidak logik sebab keris Taming Sari amat berbisa.

Sekali lagi Dr. Izham berhujah, melainkan bukan keris Taming Sari yang digunakan sebaliknya keris milik Sultan Melaka dan luka kecil hanya pada jari kelengkeng sahaja bagi meyimbah darah ke perut Hang Jebat.

Setelah habis mengamuk Hang Jebat kononya dikatakan mati dirumah Hang Tuah. Sekali lagi kejadian ini tidak lojik. Namun tidak seorang pun dibenarkan melihat jenazah Hang Jebat.

“Syoknya, Hang Jebat mati diriba Hang Tuah!” cerita Dr. Izham.

Kononya Hang Tuahlah yang memandikan, mengapankan dan meyembahyangkan sendiri jenazah Hang Jebat.

Lojiknya, kata Dr. Izham selepas Hang Jebat membersihkan saki-baki pengampu, kroni sultan Hang Tuah dan Hang Jebat selepas itu kembali semula mendalami ilmu persilatan dengan guru mereka Adi Putera.

Dua pahlawan itu seterusnya memohon untuk pergi merantau sehinggalah ke Pattani membuka pesantren di sana dan mengajar murid-murid ilmu persilatan dan mengaji Al-Quran.

Melalui identiti baru itu mereka berdua berjaya melahirkan ramai pahlawan melayu yang hebat dan terkenal memerangi penjajahan di Nusantara.

Paling menarik, Dr. Izham menyatakan kesemua ahli keluarga Hang Jebat dan Hang Tuah pulang semula ke Kedah dan tinggal di Pulau Melaka di Langkawi.

Dr. Izham ada juga mendengar cerita orang bahawa Mahsuri adalah dari susur galur keturunan Hang Tuah. Mereka membawa bersama resepi makanan tradisi dan menamakannya sempena negeri Melaka.

Umpamanya cabai melaka kerana orang Melaka suka makan pedas, buah Melaka, gula Melaka dan lain lain lagi.

Akhir kalam, Dr. Izham sekali lagi bersetuju dengan Pak Syeikh bahawa dalam soal perpaduan orang Melayu : ‘Air dicincang tak akan putus!’

Sesukar manapun situasi yang dihadapi, pasti ada muslihat bagi menyelesaikannya tanpa mengorbankan nyawa orang Melayu.

Berdasarkan kisah Hang Tuah dan Hang Jebat tadi, pihak istana mahukan si Jebat dibunuh maka tidak ada masaalah bagi Tuah membunuh nama si Jebat. Perkara ini perlu dilakukan berhati-hati agar titah raja tetap keramat. Yang mati adalah nama Hang Jebat, bukan semangatnya. Hang Tuah dan Hang Jebat hidup sampai ke tua mencapai taraf makam wali.

Berdasarkan lagenda ini, Dr. Izham menyimpulkan bahawa orang Melayu telah banyak kali diuji sejak peristiwa Hang Tuah bertikam dengan Hang Jebat, Malayan Union dan peristiwa 13 Mei 1969.

“Menariknya, dalam menghadapi soal genting ini, orang Melayu kembali bersatu! Kembali kuat!” katanya.

Dr. Izham percaya orang Melayu sekali akan bersatu sekiranya survival kehidupan mereka diancam dan terancam oleh suasana sekeliling yang mencemaskan masa depan bangsa dan agama Islam.

“Jika tidak bersatu kata-kata ‘Takkan Melayu Hilang Didunia’ hanya tinggal nama!” kata Dr. Izham mengingatkan.

1 comment:

  1. Seronoknya baca! ^_^ Rasa macam puas hati sebab Hang Tuah tidak membunuh rakan baik sendiri demi ketaatan kepada Sultan.

    ReplyDelete

Komen anda tanggungjawab anda. Sebarang kemusykilan boleh berhubung terus melalui email d0d0l[.]com[@]my[.]com